CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, December 8, 2010

Perpisahan…”Aku tidak boleh lupakan dia”?


Sering kita dengar dan tahu (malah ada yang pernah merasainya) tentang perpisahan. Perpisahan mungkin menyakitkan tapi seperti yang saya telah katakan “BERSABARLAH”..Saya akan cuba rungkaikan tajuk “perpisahan” semampu mungkin..

Erti Cinta~Perpisahan…”Aku tidak boleh lupakan dia”?

Perpisahan memang menyakitkan. Ayat di atas dimaksudkan ketika berlakunya perpisahan di antara pasangan “kekasih” (benarkah?). Tidak kiralah zaman sekolah kah, zaman universiti kah atau di zaman mana-mana sahaja jika kita perhatikan sering berlaku “cinta monyet” yang menyebabkan berlakunya putus asa ke atas seseorang yang di minta putus. Samada sedih atau tidak pasti salah seorang akan terseksa “jiwa dan raga”. Sehingga ada yang kata “Aku tidak boleh lupakan dia” malah ada yang berkata “Aku tidak boleh hidup tanpa dia”.

Seperti nukilan dan garapan bab sebelum ini, ternyata ramai yang hilang kesabaran dan lupa tentang diri bila berlaku perpisahan. Bagi yang meminta putus pula persoalan sering timbul di ruang hati apakah niat sebenar belakunya perpisahan. Adakah kerana timbul kesedaran untuk tidak bercinta sebelum berkahwin, ingin menganiaya, tiada rasa cinta, kecewa dengan sikap si dia dll.

Walau apa jua alasan dan sebab, perpisahan pasti akan berlaku sebenarnya. Bukankah telah dinyatakan oleh firman ALLAH bahawa setiap manusia akan mati. Jadi sebelum memulakan hubungan fikirlah panjang dan sebenar-benar kerana ALLAH adakah kita mampu menghadapi perpisahan samada sementara atau selama-lamanya. Sememangnya sebagai insan yang beriman jangan lah kita terlalu mengharap cinta manusia (terutamanya sebelum bernikah-cukuplah berkenal-kenalan atau taaruf dengan cara sebenar) kerana CINTA manusia tidak kan kekal, hanya CINTA ALLAH akan kekal selama-lamanya.

Fiman Allah subhanallahu Taala

Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
Al Anbia’ 35


Harapkan dan berusahalah diserapkan sematkan dalam hati sanubari kita bahawa CINTA ALLAH lah yang terutama bagi diriku. Itulah yang sebenar-benarnya untuk selama-lamanya.

Mengapa berlaku kata-kata yang dimaksudkan tadi “Aku tidak boleh lupakan dia”? Jawapan: Ia berlaku kerana terlalu mengharapkan pada si dia dan cinta dipenuhi dengan cinta si dia bukan CINTA yang benar-benar satu iaitu ALLAH. Bila ini berlaku ramai yang terlupa dan leka untuk kembali kepada diriNya.

Fenomena ini menjadi satu realiti pada masa kini. Lihatlah betapa ramai yang tersesat dan tersimpang jauh dari landasan sebenar iaitu landasan syariah. Malah kita lihat berlakunya kes bunuh diri kerana putus cinta. Astaghfirullah hal azim. Janganlah kita merasa putus asa sehinggakan mengikut telunjuk syaitan tanpa memikirkan rahmat dari ALLAH. Semaikanlah kekuatan dalam dirimu dengan mengingati ALLAH. “Sesungguhnya dengan mengingati ALLAH hati kan menjadi tenang”.

Fiman Allah subhanallahu Taala

…..dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.
Yusuf : 87

Sekali lagi, doakanlah kekuatan untuk diri kita sendiri untuk sentiasa bersama rahmat ALLAH dan petunjukNYa. Selalulah mengucap syukur terhadap apa yang berlaku kepada kita. Setiap perkara yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi. Carilah hikmah itu sehingga menjumpainya. InsyaAllah kita akan merasa sangat-sangat bersyukur. Thank You ALLAH. Banyak lagi rahsia ALLAH yang kita tidak tahu di muka bumi ini. Kesyukuran yang dipanjatkan pasti disenangi ALLAH. Sesungguhnya ALLAH menyukai hambaNYA yang taat lagi bersyukur.


Fiman Allah subhanallahu Taala

Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).AnNisa’147

Sedarilah, kamu pasti mempunyai kekuatan untuk melupakan dia. Pasti tersembunyi perasaan untuk mendapatkan kekuatan dan semangat yang kuat dalam diri kita. InsyaAllah, selamilah hati anda disertai dengan Iman dan Taqwa kepada ALLAH. Tidak perlu dirisau kerana setiap manusia yang hidup di dunia ini di jadikan berpasang-pasangan. Pasti ada seseorang untuk di jadikan teman hidup. Fitrah manusia untuk ingin mempunyai teman. Sedangkan Adam alaihis salam juga kesunyian dan perlukan seorang teman. Lalu di ambil lambung rusuk kiri nya untuk di jadikan pasangan hidupnya iaitu Hawa.

Cintailah sebenar-benarnya sepenuhnya suami mu atau isterimu,sahabat2mu dan kedua ibubapamu..pimpinlah mereka ke syurga bersama-samamu, Lunaskanlah tanggungjawab dalam hidup berumahtangga,Lunaskan tanggungjawab sebagai seorang anak,seorang sahabat... Tetapi tetaplah hati mu pada yang SATU iaitu ALLAH subhanallahu Taala. Itulah hak yang sebenarnya. Ketaatan dan ingatanmu di mulakan dengan ingatan niat kerana ALLAH.

Beginilah, definisi perpisahan sebenarnya memberi makna bahawa ia sudah tidak mungkin bersama kita ataupun perpisahan yang InsyaAllah pasti akan berjumpa semula. Bila di amati, setiap insan pasti akan berlakunya perpisahan iaitu perpisahan yang kekal. Sudah pati ia tidak dapat di elak dan di tangguh. Persoalan: Sudahkah kita bersedia untuk menghadapi perpisahan yang kekal untuk selama-lamanya? Jawapan: Tepuk dada tanya IMAN. Pastikan kamu bersedia. Bagi yang hidup teruskanlah hidupmu dengan mencari keredhaan kepada ALLAH.

Jangan kerana berpisah dengan manusia yang kita sayang sehinggakan kita lupa kepada kasih sayang yang TERUTAMA iaitu ALLAH. ALLAH lebih berhak untuk diingati dan menangislah keranaNYA dan jangan lupakan ALLAH.


Memang sakit bila cinta yg kita dambakan selama ini tak dihargai oleh insan yg bernama kekasih,apatah lagi kita dibuang begitu saja...tapi,itulah juga petanda terbaik untuk diri dan kehidupan kita pada masa akan datang.

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salahsupaya apabila kita bertemu jodoh yg sebenar,masih ada rasa syukur kita pada ketentuanNYA.

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salahsupaya kita dapat menjadi penilai yg baik.

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salahsupaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yg sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH.

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salahsupaya kita dapat KASIH SAYANG YANG TERBAIK,KHAS UNTUK DIRI KITA.

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa ALLAH MAHA PEMURAH & PENYAYANG kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yg hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan...

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salahsupaya kita dapat mengutip pengalaman yg tak semua orang berpeluang untuk mengalaminya.

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salahsupaya kita jadi MANUSIA YG HEBAT JIWANYA.

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salahsupaya kita lebih faham bahawa CINTA YG TERBAIK HANYA ADA BERSAMA ALLAH.

memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salahsupaya kita LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YG TAK SELAMANYA KEKAL.

Wahai sahabat yg kecewa,menderita dan sengsara kerana cinta,fahamilah bahawa kehidupan kita makin sampai ke penghujungnya.Hari esokpun kita sendiri tak pasti samada menjadi milik kita.gapailah keredhaan ALLAH dengan melaksanakan suruhanNYA,dan meninggalkan laranganNYA..PERCAYALAH sesungguhnya ALLAH malu untuk menolak permintaan hambaNYA yg menadah tangan meminta dengan penuh pengharapan HANYA kepadaNYA..


Siti Hajar: Contoh Isteri Solehah...

Ya Allah....aku percaya,setiap yang Kau putuskan untuk terjadi itu adalah yang terbaik untukku.......
kiter hayati kisah ini yee..bayangkanlah keperitan dugaan yang ditempuhi siti Hajar itu...
percayalah...apa yang Dia takdirkan itu ada hikmahnya dan itulah yang terbaik untuk kita...

Siti Hajar adalah isteri kedua Nabi Ibrahim. Perkahwinan itu direstui isteri pertama, Siti Sarah, sebagai satu usaha untuk melahirkan zuriat Nabi Ibrahim yang bakal meneruskan tugas menyebarkan agama Allah. Siti Sarah tidak mampu melahirkan anak disebabkan usianya ketika itu telah mencecah 70 tahun.

Namun, perasaan Siti Sarah berubah menjadi cemburu setelah Siti Hajar mengandung dan mengambil keputusan tidak mahu hidup bersama lagi dengan madunya. Nabi Ibrahim terpaksa mengambil keputusan untuk memisahkan antara kedua isterinya itu untuk mengelak persengketaan. Peristiwa itu sebenarnya menyimpan banyak hikmah yang telah ditentukan oleh Allah. Nabi Ibrahim mendapat wahyu agar membawa Siti Hajar dan anak yang baru dilahirkan, Nabi Ismail, menuju ke satu tempat yang amat jauh dari kampung halaman mereka di Palestin.

Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar dan Nabi Ismail ke satu lembah yang kering kontang dan tiada penghuni yang kini dikenali Makkah. Kedua beranak itu ditinggalkan dengan hanya sedikit bekalan makanan dan air minuman. Mereka hanya berserah kepada Allah kerana mengetahui tindakan Nabi Ibrahim itu satu perintah daripada Allah.

Siti Hajar menyedari jika itulah perintah daripada Allah, sudah pasti Allah tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang taat. Namun hatinya masih tertanya-tanya hikmah di sebalik perintah Allah itu. Bayangkan perasaan Siti Hajar ditinggalkan berdua dengan anak yang masih bayi di suatu tempat yang tidak berpenghuni dan kering kontang. Pada siapakah dia harus mendapatkan pertolongan jika berlaku sesuatu perkara yang buruk kepadanya?

Dia juga sering tertanya-tanya sama ada dirinya masih berpeluang menemui suaminya yang tercinta. Sedangkan, dia tahu jarak perjalanan antara Palestin dengan Makkah pada ketika itu mengambil masa kira-kira enam bulan untuk sampai dan terpaksa melalui perjalanan yang sukar.

Siti Hajar memang merupakan wanita terpilih. Zuriatnya melalui Nabi Ismail melahirkan nabi-nabi seterusnya hinggalah Nabi Muhammad. Kecekalan dan perasaan reda berdepan dengan cabaran hidup yang sedemikian tentunya tidak pernah dilalui wanita lain.

Tidak lama selepas tinggal di lembah kontang itu, bekalan makanan dan minuman yang dibawa telah kehabisan. Lebih merungsingkan lagi apabila susu badan Siti Hajar sendiri tidak lagi keluar disebabkan keadaan badannya yang tidak mendapat makanan yang cukup. Nabi Ismail tidak dapat menyusu susu badan ibunya.

Ketika itulah Siti Hajar mula resah. Tidak sanggup mendengar tangisan Nabi Ismail akibat kehausan, Siti Hajar meletakkan Nabi Ismail di satu tempat lalu bingkas bangun mencari ke segenap tempat untuk mendapatkan air.

Siti Hajar mendaki sebuah bukit untuk meninjau dari jauh agar dapat melihat kalau-kalau ada tempat menakungkan air. Dari puncak bukit itu dia melihat dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari sekuat hati ke tempat itu agar cepat dia mendapat air itu bagi diberi minum kepada puteranya. Namun, setelah sampai di tempat itu, apa yang dilihatnya tadi hanyalah fatamorgana. Dari tempat itu pula dia melihat ada tempat lain seperti ada air bertakung. Lantas dia terus berlari ke tempat itu. Sekali lagi dia kecewa kerana apa yang dilihatnya itu juga fatamorgana. Tetapi, dilihatnya sekali lagi ada tempat seperti air bertakung. Dia terus berlari tanpa mengenal penat bagi memastikan anaknya dapat minum. Begitu besar sekali pengorbanan seorang ibu. Dia tidak sedar dirinya sendiri semakin lama tidak berdaya lagi untuk bergerak.

Tanpa disedari, Siti Hajar sebenarnya telah berulang alik antara dua bukit iaitu Bukit Safa dan Bukit Marwah untuk mencari sumber air.Perlakuan Siti Hajar berlari antara Bukit Safa dan Bukit Marwah adalah tanda pengorbanan besar seorang ibu untuk anaknya.



Sebagai mengingati dan menjadikan kisah ini iktibar untuk seluruh umat Islam, perbuatan Siti Hajar berlari-lari berulang-alik dari Bukit Safar dan Bukit Marwah dizahirkan ketika melakukan ibadat haji. Berlari atau berjalan bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah berulang alik sebanyak tujuh kali adalah antara Rukun Haji yang menentukan sah atau batal ibadat haji yang dilakukan. Rukun haji itu dipanggil saie yang dilakukan selepas melakukan tawaf. Kembali kepada kisah Siti Hajar, selepas dirinya tidak lagi berdaya bergerak untuk mencari air, dengan rasa hampa dan memikirkan nasib anaknya yang ditinggalkan seketika itu, dia kembali ke tempat anaknya ditinggalkan.

Nabi Ismail yang kehausan ketika ditinggalkan telah menghentak-hentak kakinya ke bumi. Dengan rahmat Allah, tempat hentakan kaki Nabi Ismail itu terpancut mata air. Melihatkan keadaan itu, Siti Hajar gembira bukan kepalang. Serta merta semangat Siti Hajar kembali pulih. Dia menerpa ke arah mata air yang terpancut itu lalu ditadah dengan tangan terus dititiskan air itu ke mulut Nabi Ismail. Ketika menadah air itulah terpancul dari mulut Siti Hajar perkataan 'zami, zami, zami yang bermaksud 'berkumpullah, berkumpullah, berkumpullah'. Dari perkataan itulah lahir perkataan air zam-zam.

Tangisan Nabi Ismail reda setelah hilang hausnya. Dan dapatlah Siti Hajar pula menikmati air itu untuk mengembalikan kekuatan dirinya. Tempat air terpancut keluar itu dibuatkan takungan bagi mengumpul lebih banyak air.

Takungan air yang dibina itu bukan sahaja dijadikan sumber air minum Siti Hajar dan anaknya, tetapi dalam tempoh masa yang singkat dikesan oleh burung-burung yang berterbangan. Berkawan-kawan burung datang dan pergi silih berganti minum dan berehat di kawasan itu. Pergerakan burung itu kemudian dikesan oleh satu kabilah yang melalui kawasan itu. Mereka dapat mengagak bahawa tempat itu ada sumber air. Lantas, mereka mencari-carinya dan terjumpalah sumber air yang tidak disangka-sangka itu.

Dengan itu Siti Hajar pertama kali dapat menemui orang sejak ditinggalkan suaminya di situ. Ada kabilah menawarkan untuk membawa Siti Hajar meninggalkan tempat itu. Namun, dia tetap setia berpegang kepada perintah suaminya agar tetap tinggal di tempat itu.

Selepas peritiwa itu, kabilah-kabilah telah menjadikan kawasan Makkah sebagai laluan perjalanan untuk mendapatkan bekalan air. Setiap kali air dicedok, air yang keluar semakin banyak. Lebih menakjubkan, rasa dan khasiat air zam-zam amat istimewa berbanding air biasa.

Memandangkan ada bekalan air yang terjamin di situ, ada kabilah yang terus menetap di situ. Mereka yakin tempat itu dipenuhi dengan barakah. Tidak hairanlah jika dalam tempoh masa yang singkat sahaja, bilangan penduduk Makkah bertambah dengan mendadak.

Pengorbanan Siti Hajar wajar dijadikan contoh kepada para wanita dalam menghadapi cabaran hidup. Yang penting jangan mudah merasa kecewa dan hilang keyakinan diri apabila berdepan dengan sesuatu masalah

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA (Muhammad al-Fateh)

           haaahhh...tengoklah semangat para pejuang Islam yang terdahulu.........
banyak dari kita yang tak tahu betapa hebatnya dan betapa Islam digeruni pada satu ketika dahulu...
Islam tersebar luas...ke seluruh pelosok dunia...
dan aku pohon Ya Allah..kau tetapkan lah Iman aku dan jangan lah kau terus membiarkan Islam itu hanya
sekadar suatu nama yang melambangkan keturunanku...kau lindungilah aku Ya Allah...


Kebetulan awin sedang 'rancak' menghasilkan koleksi novel2 sejarah pejuang2 islam terdahulu nieh....
hehehh! excuse mee.....bukan koleksi je tauu?!..hheehe..minat laa dalami kisah2 kebangkitan Islam ... dulu ingatkan buku-buku camnie like..kinda boring gittuu..tapi skarang,buku tebal pown kejap jew abey..
kebetulan pulak terjumpa artikel nie,sama dgn kisah yang Awin baca dalam buku tajuk dyer 'Uthman Affan-pengumpul Al-Quran'...di kulit buku tuu kan,ada tertulis.."setiap nabi ada temannya,dan Uthman Affan adalah temanku di syurga-Rasulullah s.a.w"..
tertengok je tu,terus jatuh cinta ngan buku tuh! huhuuue..nie dyer artikel yang Awin jumpa tu.................












Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab,“Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera”di dalam hadis tersebut.


Sultan Muhammad al-Fateh
Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia   19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang   negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.



PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE
Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.


Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota
Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin   menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan  telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali  Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Bagindatidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.


                                                                                                                                 


haaaaa...Hebat kan8??????...hey korang!!! dah2 nie bkan sambungan artikel tau..!! hahaaa..
okaylah...assalamualikum..........peace no war^_____^

Wudhu' dan Sains...... :)

assalamualikum..
hahaa..mama,klau macam ni,x payah la awin penat2 diet , exercise kan...
kan solat tu exercise..
nie haa.. baru tauu..rupanya wudhu' yang awin buat tiap hari tu pown rupanya dah berbaloi mama..... 
hikhikhik..








.. 

Tahukah anda wuduk sebenarnya mempunyai rahsianya yang tersendiri terutamanya dari sudut kesihatan. Ada beberapa kajian yang mengukuhkan kenyataan ini.



Dalam satu artikel yang bertajuk Muslims Rituals And Their Effect On The Person’s Health oleh Dr. Magomed Magomedov dari Akademi Perubatan Daghestan State melaporkan bahawa berwuduk merangsang pusingan biologi manusia dengan merangsang  kawasan-kawasan yang tertentu yang dikenali sebagai Kawasan Aktif Biologi.



Menurut beliau, bangsa Cina banyak mengkaji ilmu refleksologi dan mereka meyakini jika Kawasan Aktif Biologi ini dirangsang ia akan merangsang sistem saraf dalam badan sekaligus memberi kesan yang positif terhadap kesihatan seseorang.




Berdasarkan ilmu Perubatan China,badan manusia mempunyai lebih kurang 700 Kawasan Aktif Biologi dan 66 daripadanya memberi kesan positif yang segera sekiranya dirangsang. Dan daripada 66 kawasan ini, 61 daripadanya  berada dikawasan wuduk utama orang Islam. Manakala 5 lagi kawasan terletak antara buku lali dan lutut dimana ia kawasan yang disunatkan berwuduk. Subhanallah, disamping kita berwuduk dalam menunaikan ibadah ia juga mengadungi penawar yang mampu mencegah daripada pelbagai Penyakit.



Selain itu Dr. Magomed menyatakan,Apabila seseorang menyentuh mukanya semasa berwuduk, ia merangsang saraf bagi memberi kekuatan baru (recharge)kepada organ-organ seperti usus, perut, pundi kencing, sistem peranakan dan sistem saraf.



Apabila kawasan kaki kanan dibasuh dan digosok ia merangsang sistem saraf bagi mengelokkan sistem tulang, usus pankreas, hempedu, tiroid dan kawasan pinggang. Manakala apabila kaki kiri dibasuh dan digosok, merangsang sistem saraf yang berperanan untuk mengelokkan kelenjar pituitary dan kawasan otak yang mengawal sistem endokrin.

Dalam satu buku yang bertajuk Prayers: A Sport For The Soul and Body tulisan Mukhtar Salem melaporkan bahawa berwuduk mampu mencegah seseorang daripada kanser. Hal ini disebabkan mengikut kajian semasa salah satu punca kanser adalah bahan kimia yang melekat pada kulit badan seseorang kesan daripada pencemaran yang berlaku pada hari ini. Pembasuhan anggota badan melalui wuduk ini secara tidak langsung membersihkan badan daripada kesan pencemaran ini.



Berhubung dengan perbuatan berkumur semasa berwuduk dengan tujuan membersihkan mulut daripada sisa-sisa makanan yang melekat dicelah-celah gigi ditambah pula dengan galakan nabi supaya bersiwak (menggosok gigi) semasa berwuduk.

Hadis palsu zaman moden (SMS)" ''wajib sebarkan'' "

“Slm,kpd smua yg brglr mslim,hri ni pkr meteorologi bhgn bunyi dr Rusia mndpti ssuatu bnyi gnjil sprti ngauman rksasa dr bwh mantel bumi.Menurut para ulama kmungkinan bsr itu suara Dajal y brusaha utk naik ke muka bumi.Oleh itu,kita d sruh sntiase x b’henti azan n solat,sbrkn kpd 10 umat ISLAM...amanat.”

Siapalah pencetus angkara ni ya? Jangan-jangan orang dari ‘line’ telefon tak? Maklumlah, satu orang kena sebar kepada sepuluh orang. Kalau ada sejuta orang pengguna, kan dah jadi 10,000,000 sms? Lagi cepat habis kredit pengguna, lagi untunglah pihak penjualnya. Ini sekadar agak-agak saja, belum ada bukti kukuh pun.(Cuba bersangka baik.)

Dari semasa ke semasa pelbagai berita buruk yang boleh menggugat ketenteraman jiwa umat Islam disebarkan melalui cara di atas. Kena sebar kepada 10 oranglah, 7 oranglah. Antaranya berita Masjidil Aqsa dikepung, seolah-olah hendak diserang dan diruntuhkan oleh tentera Zionis sebentar saja lagi. Selang beberapa bulan, masuk lagi mesej yang sama. Entah berapa kalilah Masjidil Aqsa hendak dikepung dan diruntuhkan. : )

Kadang-kadang isinya dalam bentuk fadhilat. Contohnya (lebih kurang):

“Laailahaillallah, Muhammadurasulullah. Kalimah tauhid yang membawa berkat. Sabda Nabi, sampaikan walau satu ayat. Sebarkan kepada 10 orang Islam, insyaallah membawa kebaikan.”

‘Hadis-hadis palsu zaman moden’ ini hampir-hampir tidak ada manfaatnya. Jika ada perkataan “sampaikan kepada sejumlah orang” biasanya mengarut saja. Memang baik kita abaikan. Sekiranya anda menulis ataupun mendapat hadis umpamanya, dan mahu disampaikan kepada orang lain, itu memang bagus. Tapi yang berisi arahan supaya sebarkan kepada sejumlah orang, kadang-kadang berupa ugutan pula, jangan dilayan.
 
Ugutan yang dibuat pun memang melucukan (bagi yang tahu). Samalah halnya dengan surat berantai kisah Syeikh Ahmad yang ‘mengetop’ kisahnya sekitar 70-8-an dulu. Sesiapa yang sebarkan surat itu kepada sejumlah orang, pasti akan mendapat imbuhan keduniaan seperti kenaikan pangkat, mendapat anak dan macam-macam lagi. Siap diberikan contoh kejayaan orang-orang kenamaan yang pernah menyebarkan surat itu. Sesiapa yang tidak percaya dan tidak mahu menyebarkannya pula, akan ditimpa musibah yang besar, juga beserta contoh-contoh mereka yang pernah terkena musibahnya. ‘Hadis-hadis palsu zaman moden’ ini pun ada juga yang diselitkan ugutan seumpama ini. Orang awam yang kurang pengetahuan pun bersungguh-sungguhlah menyebarkannya kerana takut terkena musibah. Mana yang lebih bijak, mereka SMS ustaz-ustaz dulu minta penjelasan.

Antara bahaya besar yang kita nampak daripada aktiviti penyebaran ‘hadis-hadis palsu zaman moden’ ini boleh kita ambil daripada cerita ‘Penggembala dengan Harimau’. Penggembala berteriak kepada orang kampung kononnya kambing-kambingnya diserang harimau. Apabila orang kampong tiba, ternyata perkara itu hanyalah dustaan si penggembala. Kali pertama orang percaya, kali kedua orang percaya. Masuk kali ketiga orang buat tak tahu saja walaupun ketika itu memang betul ada harimau menyerang kambing-kambing.

Dalam hal ‘hadis palsu moden’ ini, dikhuatiri satu hari nanti umat Islam sudah hilang sensitif kerana muak ditipu berulang-kali dan akhirnya buat tak tahu saja mesej yang disebarkan sedangkan ketika itu umat Islam memang betul-betul berada dalam bahaya dan memerlukan gerak segera. Memang tidak bertanggungjawab para pencetus ‘hadis palsu moden’ ini.

Kita kembali kepada ‘hadis palsu moden’ yang saya terima di atas. Agak melucukan bunyinya “pakar meterologi BAHAGIAN BUNYI”. Adakah jawatan sebegitu? Jika ada, betullah tu, mungkin saya yang kurang ilmu.

Pakar bahagian bunyi itu kononnya mendakwa terdengar bunyi seperti NGAUMAN RAKSASA dari bawah mantel bumi. Terus PARA ULAMA menyatakan bunyi itu kemungkinan bunyi Dajal yang mahu naik ke atas muka bumi. Oang-orang di Rusia (banyak yang atehis) sana percaya kisah Dajjalkah?

Amboi, amboi, cepat betul pakar-pakar bunyi itu berhubung dengan PARA ulama sedangkan mereka baru mendengar bunyi itu HARI INI! Masa bila pula apabila ada sesuatu penemuan baru, pakar-pakar meteorology Rusia menjadikan ulama sebagai rujukan? Dan para ulama pun begitu pantas sekali memberikan ulasan. Yang mana satu Dajal ni, yang nak keluar dari bawah tanah tu ke... ataupun yang mula-mula menulis mesej di atas? Hebat betul Dajjal, keluar-keluar dari BAWAH MANTEL BUMI, terus capai telefon bimbit dan tulis mesej. : )

Kemudian, bila masa pula Dajjal tinggal di bawah bumi? Saya rajin juga membaca dan membuat nota tentang Dajjal tapi tak jumpa pula kisah Dajjal tinggal dalam tanah, dan mengaum pula bunyinya. Pencetus ini nyata jahil ehwal agama Islam.

Kejahilannya terserlah lagi apabila membuat seruan supaya umat IslamSENTIASA/ TIDAK BERHENTI mengerjakan solat dan berazan. Ajak orang supaya membanyakkan solat itu bagus, tapi olat dan azan ‘non-stop’ tu pernahkah dibuat para pendahulu kita? Boleh jadi si pencetus ini bukan orang Islam, tak mustahil. Lebih-lebih lagi apabila dia menulis “kpd 10 umat ISLAM” dengan perkataan ISLAM diserlahkan berhuruf besar. Cepatlah habis ‘kredit’ orang-orang Islam asyik menyambung rantai mesej palsu. : )


Zaman dahulu, hadis-hadis palsu yang menggesa umat Islam menambahkan amal memang banyak. Antara tujuannya supaya umat Islam leka dengan amal dan ketinggalan ehwal keduniaan menyebabkan musuh-musuh Islam mudah menjatuhkan Islam. Ada juga yang mahu mengukuhkan kedudukan politiknya lalu menyebarkan fadhilat amal yang luar biasa. Tujuannya supaya umat Islam kurang masa untuk meneliti ehwal politik, maka dia akan mengaut apa-apa keuntungan politik.

Contohnya hadis-hadis yang mengatakan jika melakukan satu amal tertentu berterusan ataupun pada masa tertentu, akan mendapat pahala 7 orang nabi. Sekali buat sudah dapat pahala 7 nabi, kalau dibuat setiap tahun, setiap minggu? Wahhh, kalah habis para nabi punya amal!

Begitulah, salah satu kaedah untuk mengenal hadis palsu ialah ganjaran yang dijanjikan itu terlalu berlebih-lebihan. Orang awam pun berlumba-lumbalah mengikut saranan hadis palsu itu sedangkan pada masa yang sama pencetusnya mengaut keuntungan

KAMI JUGA MERINDUIMU YA RASULULLAH.....

assalamualikum..... :)


"Rasulullah merindui umat akhir zaman"

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.

Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah, sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, " Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman, sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah UMATKU yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.

Pada kita yang bersungguh-sungguh mahu menjadi kekasih kepada kekasih Allah itu, wajarlah bagi kita untuk mengikis cinta-cinta yang lain. Cinta yang dapat merenggangkan hubungan hati kita dengan baginda Rasulullah.
Selawat & salam buat junjungan mulia Rasulullah.s.a.w..."Berselawatlah untukku satu kali, maka Allah akan berselawat untuk nya 10 kali” hadis riwayat muslim(1/288, no.384)


Sabda Nabi SAW “ Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” (Hadis Riwayat At-Tarmidzi)

Sabda Nabi SAW : “ Dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku , maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada .“ (Hadis Riwayat Abu Daud)

Ketika berjumpa sahabat handai atau saudara mara sesama Islam . Sabda Nabi s.a.w : “ Tiadalah dua hamba yang saling cinta mencintai kerana Allah yang berjumpa salah seorang yang lain lalu berjabat tangan ( bersalam ) dan berselawat kepada Nabi s.a.w . melainkan Allah mengampuni dosanya sebelum mereka berpisah , baik yang telah lalu ataupun yang akan datang.“ (Hadis riwayat Ibnu Sunni)

Ketika akan memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting . Sabda Nabi s.a.w : “ Setiap pekerjaan yang baik yang tidak dimulai dengan hamdalah (memuji Allah) dan selawat , maka pekerjaan atau urusan itu terputus dan hilang barkahnya.“ (Hadis Riwayat Ar-Rahawi)

Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi s.a.w . Sabda Nabi s.a.w : “ orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang menyebut namaku di sisinya.“ (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Ketika telinga berdengung . Sabda Nabi s.a.w : “ Jika telinga salah seorang dari kamu berdengung , maka hendaklah ia mengingati dan berselawat kepadaku.“ (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)

Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan. Diberitakan oleh Ubay bin Kaab r.a. bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, ujurnya : “ Ya Rasulullah bagaimana pendapat engkau sekiranya aku jadikan selawat untuk engkau semua? Jawap Rasulullah s.a.w “ Kalau demikian Allah akan memelihara engkau baik mengenai dunia mahu pun mengenai akhiratmu.“ (Hadis Riwayat Ahmad)
Setiap waktu pagi dan petang . Sabda Nabi s.a.w : “ Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali , maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat.“ (Hadis Riwayat Thabarani)

Berdasarkan dari hadis-hadis diatas, jelas bahawa membaca selawat kepada Nabi s.a.w adalah suatu dari rangkaian iman dan ibadah yang wajib disempurnakan oleh kaum Muslimin dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Semoga dengan sentiasa berselawat ke atas Nabi, Allah akan memberi rahmat dan keberkatan dalam kehidupan kaum Muslimin.


Fadilat Selawat - untuk renungan
Rasulullah SAW telah bersabda bahawa, "Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail A.S. telah berkata kepadaku. Berkata Jibril A.S. : "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."

Berkata pula Mikail A.S. : "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."
Berkata pula Israfil A.S. : "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah S.W.T dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah S.W.T mengampuni orang itu."
Malaikat Izrail A.S pula berkata : "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut ruh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut ruh para nabi-nabi."

Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah S.A.W.? Para malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah S.A.W.

APA SALAHNYA JIKA KITA BERSELAWAT  SEKARANG KE ATAS SEORANG INSAN YANG AMAT RINDUKAN UMATNYA?




INSYAALLAH SEMOGA KITA BEROLEH SYAFAAT DARINYA DI AKHIRAT KELAK. :)